Misi One Laptop Per Child (OLPC)

Anda boleh mengubah dunia dengan menyertai projek OLPC di Malaysia sekarang
Rabu, 25 Mac 2009
Tidak mustahil suatu hari nanti Kerajaan Malaysia akan membeli laptop OLPC untuk diberikan kepada setiap kanak-kanak sekolah rendah di seluruh Malaysia. Memang sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh anak-anak kita untuk memiliki sebuah laptop kecil untuk dibawa kemana-mana bagi membantu pendidikan dan perkembangan otak mereka. Tetapi adakah mereka gembira sekiranya semua kandungan dan perisian yang disediakan di dalam laptop tersebut bukanlah bahasa rasmi kita. Agak sukar bagi kanak-kanak ini untuk memahami dan menggunakan laptop yang mengandungi bahasa asing sebagai bahasa utama.
Menjadi tanggungjawab kita untuk menjadikan proses pembelajaran mereka lebih mudah iaitu dengan melakukan alih bahasa kandungan OLPC kepada Bahasa Melayu. Ramai tidak tahu bagaimana untuk melaksanakan proses alih bahasa tersebut dan ramai yang berpendapat bahawa melakukannya memerlukan beberapa langkah yang sukar. Hanya dengan menggunakan komputer yang bersambung dengan rangkaian Internet, semua rakyat Malaysia boleh membantu OLPC dalam mengubah kandungan laptop XO kepada Bahasa Melayu.
Untuk melakukan alih bahasa, anda boleh melayari http://dev.laptop.org/translate dan mendaftar di laman web tersebut. Setelah melakukan proses pengesahan di alamat e-mel yang kita berikan, anda boleh login ke sistem tersebut dan memulakan proses mengalih bahasa. Sistem akan memaparkan ayat-ayat pendek yang memerlukan anda untuk melakukan alih bahasa dan anda cuma perlu memasukkan maksud ayat pendek tersebut ke dalam ruang kosong yang disediakan. Anda tidak perlukan masa yang lama untuk melakukan alih bahasa dan penuhi masa terluang anda untuk sesuatu yang berfaedah untuk anak-anak kita di masa hadapan.
Rabu, 18 Mac 2009
Contributors Program merupakan satu program bercorak komuniti bagi membolehkan sesiapa sahaja di seluruh dunia untuk menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan laptop XO dan projek OLPC keseluruhannya. Pelajar, pakar teknologi, guru, pekerja am, doktor atau sesiapa sahaja boleh menyertai Contributors Program untuk menjalankan projek-projek yang memberikan kebaikan kepada pembangunan OLPC.
Pihak OLPC sangat menggalakkan peserta program ini untuk meminjam laptop XO secara percuma sekiranya anda atau kumpulan anda memberikan komitmen, secara sukarela, dan menyokong secara berterusan misi dan prinsip OLPC.
Sekiranya penyumbang masih tidak mempunyai idea, mereka boleh berkongsi pendapat dan pemikiran dengan memohon untuk menyertai Contributors Program dan pihak OLPC akan cuba untuk membantu memperbaiki cadangan projek anda bagi menyokong usaha untuk mengubah dunia.
Untuk menyertai Contributors Program, layari wiki Contributors Program dan ketahui cara-cara untuk memohon. Setiap projek akan dibincangkan di dalam mesyuarat komuniti dan sekiranya projek diluluskan oleh mentor projek, laptop XO anda akan dihantar dalam masa seminggu.