Misi One Laptop Per Child (OLPC)

Anda boleh mengubah dunia dengan menyertai projek OLPC di Malaysia sekarang
Isnin, 5 Disember 2011
Setelah hampir 2 tahun bersama OLPC dan laptop kecil lagi comel iaitu XO yang saya namakan Purpy dan Greeny, saya melihat terdapat beberapa masalah yang berlaku dalam perlaksanaan OLPC di Malaysia. Negara kita telah disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang menerima laptop XO yang diberikan kepada kanak-kanak di sekolah rendah. Terdapat 2 buah sekolah yang telah menerima XO sebanyak 100 unit keseluruhannya di Sarawak iaitu SK Semop, Daro dan SK Julau. Walaupun Malaysia telah disenaraikan sebagai penerima laptop XO, perlaksanaan dan penglibatan Malaysia dalam Projek Murni ini masih lagi kurang mendapat perhatian dari pelbagai pihak.
1. Pihak media kurang memberi pendedahan mengenai kewujudan Projek OLPC ini di media massa. Walaupun Projek OLPC ini sedang sibuk diperbincangkan di peringkat antarabangsa, ramai lagi rakyat Malaysia yang kurang arif mengenai laptop yang berwarna hijau ini. Pihak pengiklanan yang memerlukan keuntungan dalam proses pengiklanan tidak mahu memaparkan iklan-iklan yang berasaskan bantuan kemanusiaan ini yang tidak mempunyai sebarang pendapatan dan lebih kepada bantuan sukarela daripada komuniti-komuniti di seluruh Malaysia.
2. Pihak pembangun sistem yang akan digunakan di dalam sistem operasi laptop XO tidak mempunyai kaedah yang mudah untuk menghasilkan program untuk sistem Sugar yang dipasangkan pada laptop tersebut. Tiada IDE yang direka khas untuk menghasilkan program yang berasaskan bahasa pengaturcaraan Python. Kebanyakan kaedah pembangunan sistem yang dilakukan agak sukar dan memerlukan banyak pengubahan pada tetapan komputer pembangun sistem.
3. Terlalu banyak maklumat yang dipaparkan di Laman Web OLPC dan Laman Wiki OLPC yang agak mengelirukan sesiapa sahaja yang ingin melibatkan diri dalam Projek OLPC ini. Selain daripada itu, terdapat terlalu banyak Laman Web yang memperkatakan mengenai OLPC ini diwujudkan. Kesemua laman web ini juga mempunyai fungsi yang berbeza dan agak mengelirukan mereka yang ingin mendapatkan maklumat mengenai OLPC. Bilangan laman web yang terlalu banyak juga menyebabkan pembangun dan komuniti OLPC terlupa laman web yang ada.
4. Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia tidak menyokong sepenuhnya dalam pembangunan projek ini di Malaysia. KPM sepatutnya menggunakan secara optimum dengan kewujudan projek ini untuk diaplikasikan di dalam sistem pembelajaran pelajar sekolah rendah di seluruh Malaysia. Sistem pembelajaran secara integrasi ini dapat membantu kanak-kanak di seluruh Malaysia untuk belajar secara bersama-sama dan sekaligus meningkatkan pengetahuan mereka. Projek ini juga dapat membantu meningkatkan mutu pendidikan untuk sekolah-sekolah yang berada di kawasan pendalaman, di perkampungan orang asli dan di Malaysia Timur yang mempunyai infrastruktur yang kurang memuaskan.
Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang ingin melibatkan diri dalam Projek ini dan membantu dalam perlaksanaannya di seluruh Malaysia, anda boleh menghantar emel ke decfiv [at] yahoo.com Sebarang komen dan idea juga boleh disampaikan dengan menghantar emel di alamat yang sama. Pihak OLPC sentiasa menerima sebarang cadangan, bantuan atau sokongan daripada mana-mana pihak dalam meningkatkan lagi peningkatan OLPC di seluruh Malaysia terutamanya di Malaysia Timur.
Tuan,
Di mana boleh saya dapatkan sumber untuk server OLPC ?
Pada pendapat saya ada 2 cara perlaksanaan :-
1. Minta/beli OLPC.
2. Minta PC lama dari badan korporat yang nak lupuskan PC. Install OS OLPC dalam pc-pc tersebut .
Email saya narizman@gmail.com.
Kita boleh bincang lebih lanjut.